KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap pasangan didakwa terbabit program motivasi rumah tangga (eHATI) yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik, sudah dimulakan dengan kedua-dua mereka akan dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini susulan laporan rasmi berhubung penganjuran program terbabit yang diterima pihak JAIS, baru-baru ini.
“Saya maklum mengenai kebimbangan masyarakat berhubung pendekatan digunakan (eHATI) yang menggusarkan,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee untuk memulakan kerjasama bersama JAIS bagi menangani isu berkenaan.
Katanya lagi, JAIS kini telah menerima aduan rasmi dan memulakan siasatan termasuk akan memanggil pasangan penganjur program terbabit untuk memberi keterangan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS.
Dakwaan ajaran sesat
Program motivasi eHATI yang didakwa dikendalikan oleh pasangan suami isteri dilaporkan menyasarkan wanita bekerja yang berdepan krisis rumah tangga dan disyaki menyebarkan ajaran sesat.
Bekas peserta mendedahkan ajaran kumpulan itu berselindung di sebalik program ‘keluarga bahagia’ dan ‘seni cinta rumah tangga’, tetapi sebenarnya membawa fahaman batin menyeleweng.
Lebih merisaukan, mereka didakwa menggunakan bahan rujukan daripada buku Hindu dan menyampaikan kandungan melalui aplikasi Telegram.
Aduan sejak tahun lalu belum dapat disahkan
Mengulas dakwaan bahawa aduan terhadap program berkenaan telah dibuat sejak tahun lalu, Mohd Na’im berkata perkara itu belum dapat disahkan.
“Saya dimaklumkan ada aduan diterima sejak tahun lalu, tetapi perkara itu saya tak boleh ‘verify’ (sahkan) dan akan tunggu Sirajuddin (memberikan pengesahan mengenainya),” katanya.
Menurut beliau, pihaknya baru menerima laporan mengenai kumpulan eHATI kelmarin dan sebelum itu tidak mengetahui kewujudannya.
Seru masyarakat tampil buat laporan
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti berunsur penyelewengan atau ajaran meragukan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk tindakan lanjut.
Katanya, peserta program seumpama itu juga disaran mengemukakan aduan rasmi sekiranya pendekatan atau modul yang digunakan mencetuskan keraguan.
“Tiada masalah untuk mana-mana pasangan membuat pencarian (kaedah menyelesaikan isu rumah tangga) cuma saya nasihatkan, pastikan kumpulan ini melalui pihak berautoriti,” katanya.
Mohd Na’im juga menasihati pasangan rumah tangga agar merujuk pihak yang sah dan bertauliah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah mereka.
“Insya-Allah bila aduan dibuat, saya beri komitmen untuk memastikan JAKIM bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk ambil tindakan supaya elemen penyelewengan tak berterusan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. – The Malaysian Update
Sumber : Berita Harian
