KOTA BHARU — Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan peket kacang gajus sebagai helah selepas menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.1 juta di Kuala Krai, Jumaat lalu.
Apa berlaku
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek masing-masing berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan dalam sebuah Proton X70 pada jam 4 petang di Jalan Padang Sembilan selepas kenderaan mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan menemui
- 110 bungkusan plastik berisi bunga ganja kering (60.8kg)
- Ketulan mampat ganja (6.95kg)
- 150 biji pil yaba
- Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM2.37 juta.
Serbuan susulan
Polis kemudiannya menyerbu rumah pasangan itu di Selising, Pasir Puteh dan menemui 22kg ganja mampat bernilai RM775,000.
Turut dirampas, wang tunai, rantai leher dan barang kemas.
Modus operandi
Pasangan tersebut dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak lebih setahun dengan berselindung di sebalik perniagaan sah
- Isteri bekerja sebagai peniaga ayam proses
- Suami pula pemandu p-hailing
“Kita percaya mereka adalah pembekal utama dan mempunyai rangkaian lain termasuk ke pasaran luar negara, berdasarkan nilai tinggi bunga ganja dirampas,” kata Mohd Yusoff.
Latar belakang suspek
- Suami positif dadah
- Kedua-duanya ada rekod jenayah lampau berkaitan narkotik
- Kini direman tujuh hari hingga 17 Julai di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
Kaitan dengan sindiket antarabangsa?
Polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini ada kaitan dengan rangkaian dadah antarabangsa, termasuk kes rampasan pil yaba 35.4kg bernilai RM5.04 juta yang dikaitkan dengan usahawan salun dan pemilik kedai makan, 27 Jun lalu.
Apa seterusnya
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini mengesan saki-baki ahli sindiket terlibat. – The Malaysian Update
Sumber : BERNAMA
