KUALA LUMPUR – Gara-gara panik diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka bertindak nekad membakar wang tunai hampir RM1 juta di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan Khamis lalu, pasukan pegawai SPRM mendapati rumah suspek dipenuhi asap tebal dipercayai berpunca dari bilik mandi, lapor Harian Metro.
“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, SPRM menemui wang kertas RM100 berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar,” katanya.
Difahamkan, suspek bertindak melupuskan beberapa bungkusan wang selepas menyedari kehadiran SPRM di kediamannya.
Selain wang yang terbakar, pemeriksaan lanjut turut menemui kira-kira RM7.5 juta wang tunai disorok dalam kotak bantal, serta beberapa barangan mewah seperti tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier, cincin serta syiling emas.
Kesemua wang dan barangan berkenaan telah disita SPRM untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kejadian dan menegaskan bahawa tindakan suspek cuba memusnahkan bahan bukti adalah satu kesalahan serius.
“Perbuatan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda,” katanya.
Bagaimanapun, fokus utama siasatan ketika ini adalah mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009. – The Malaysian Update
