KAJANG – Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia tiga dan enam tahun ditemui selamat oleh orang awam selepas dipercayai keluar dari rumah pengasuh mereka tanpa disedari.
Apa yang berlaku
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima dua kanak-kanak tersebut yang diserahkan oleh orang awam di Balai Polis Bangi sekitar pukul 11.57 pagi tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak itu dijumpai dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi tanpa pengawasan orang dewasa sebelum dibawa ke balai polis.
“Kira-kira pukul 2 petang, ibu bapa kepada dua beradik itu berjaya dihubungi dan hadir ke balai sebelum mereka diserahkan semula dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi lapor Kosmo!.
Pengasuh sedang tidur
Menurut Naazron, siasatan lanjut mendapati insiden itu berlaku ketika pengasuh sedang tidur sebelum dua beradik terbabit keluar dari rumah berkenaan tanpa pengetahuan penjaga tersebut.
Siasatan dibuka
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Setakat ini, lima keterangan telah dirakam dan siasatan masih diteruskan.
Polis beri nasihat
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau keselamatan anak-anak kecil agar kejadian pengabaian seperti itu tidak berulang.
Salur maklumat
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd Yatim di talian 017-3987188 atau hadir ke balai polis berhampiran. – The Malaysian Update
