KUALA LUMPUR – Setelah hampir setahun setengah menceriakan pagi pendengar setia Suria FM, Datuk Fizz Fairuz akhirnya mengundurkan diri daripada segmen Morning Morning Suria.
Pengumuman perpisahan itu dibuat secara langsung oleh Fizz sendiri ketika bersiaran bersama dua rakan penyampainya, Ajak Shiro dan Kai Hassan, pada pagi Jumaat yang penuh emosi.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM.
Terima kasih banyak-banyak atas peluang ini.
Impian saya nak jadi DJ akhirnya tercapai,” katanya ringkas.
Fizz turut merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan penyampai yang sentiasa memberi sokongan sepanjang penglibatannya bersama stesen radio itu.
Difahamkan, keputusan untuk mengundurkan diri dibuat atas faktor keluarga. Fizz menyatakan hasratnya untuk lebih menumpukan perhatian kepada lima cahaya mata serta memberikan ruang buat isterinya, Datin Almy Nadia, yang selama ini menggalas tanggungjawab besar menguruskan rumah tangga.
Menariknya, Almy turut berkongsi luahan hati di Instagram miliknya dengan mesej penuh makna yang mengundang pelbagai reaksi.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik.
Ditemukan dengan orang-orang baik dan dikelilingi dengan orang-orang yang baik.
Dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang, Alhamdulillah syukur padamu Ya Allah,” tulisnya.
Almy juga menitipkan pesanan penuh kasih kepada Fizz, menyatakan rasa sayang dan sokongan, di samping menyelitkan sindiran halus.
“Alhamdulillah tamat sudah perjalanan beliau di Suria FM.
Bersyukur dan percaya rezeki ada di mana-mana.
Pada yang tet, terima kasih juga, ingat Allah sentiasa ada,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Fizz menyertai Suria FM sejak 21 Januari 2024 dan berjaya menambat hati ramai pendengar dengan gaya penyampaian bersahaja serta penuh jenaka.
Apa pun yang berlaku di sebalik tabir, keputusan Fizz Fairuz untuk mengutamakan keluarga wajar dihormati. Seperti kata Almy, rezeki Allah itu luas, dan pasti ada ruang baharu menanti di hadapan. – The Malaysian Update
