PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autistiknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal, manakala suaminya dilepas dan dibebaskan.
Kenapa penting
Kes ini mencuri perhatian seluruh negara susulan kematian tragik Zayn Rayyan pada Disember 2023, yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Perincian keputusan
Hakim Dr. Syahliza Warnoh berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira.
Sebaliknya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian terhadap Zaim Ikhwan Zahari, 30, lalu membebaskannya tanpa perlu membela diri.
Apa yang berlaku
Kedua-dua ibu bapa didakwa bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Tindakan itu didakwa menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Pertuduhan
Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Reaksi
Ismanira kelihatan menangis dan memeluk ahli keluarga selepas keputusan diumumkan.
Barisan peguam
Kedua-dua tertuduh diwakili Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi. – The Malaysian Update
