Friday, December 05, 2025

Bapa Mentua Nafi Ismanira, Anak Lelaki Abaikan Zayn Rayyan

July 23, 2025
1 min read

PETALING JAYA – “Mereka ibu bapa yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi Zayn.”

Itu penegasan bapa mentua Ismanira Abdul Manaf, Zahari Mohd. Reba, 57, ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa menantunya dan anak lelakinya, Zaim Ikhwan Zahari, tidak pernah mengabaikan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

“Saya tidak percaya berkaitan pengabaian yang didakwa dan saya juga percaya kepada anak dan menantu saya tidak terlibat membunuh arwah Zayn,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan bela diri Ismanira.

Zahari berkata, kasih sayang dan layanan yang diberikan pasangan itu terhadap Zayn dan adiknya, Zahin Mateen, juga “sama rata dan tidak berbelah bahagi”.

Beliau turut memaklumkan bahawa hubungannya dengan cucu sulungnya itu sangat rapat dan “akan memastikan mereka datang ke rumah dan bermesra” apabila ibu bapa Zayn tidak bekerja pada hujung minggu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dan akan bersambung esok.

Sepanjang prosiding, Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. Pihak pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun didakwa bersama-sama mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun (ketika kejadian) dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. – The Malaysian Update

Sumber : Kosmo!

HANGAT MINGGU INI

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Kembali ke Rahmatullah

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66,

Kes Lemas Taman Prima Saujana: Adik Meninggal Dunia Di Hospital, Abang Masih Hilang – Polis

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan