KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dijangka dibanjiri orang ramai hari ini berikutan penganjuran Himpunan Turun Anwar anjuran Perikatan Nasional (PN).
Kenapa penting
Perhimpunan ini mendapat perhatian selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka turut hadir bersama pimpinan utama PAS dan PN.
Apa kata Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh meminta agar Sanusi “ditahan” daripada hadir ke ibu negara.
“Hampa tahan Sanusi jangan bagi dia pi Kuala Lumpur,” katanya berseloroh ketika lawatan rasmi ke kawasan projek MADA di Kedah pagi kelmarin.
Latar belakang
Sanusi turut hadir dalam lawatan tersebut, sekali gus menarik perhatian ramai apabila beliau dan Anwar dilihat berbual mesra dan bergelak ketawa dalam video yang dimuat naik oleh Pengerusi MADA, Dr Ismail Salleh.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Reaksi orang ramai
Netizen rata-rata terhibur dan gembira melihat suasana harmoni antara kedua-dua pemimpin.
“Seronok tengok situasi macam ni bergelak ketawa dalam kalangan pemimpin tertinggi, yang asyik bergaduh dekat bawah-bawah ni,” ujar seorang pengguna media sosial.
“Pemimpin elok dok melawak dan berkawan, yang bawah ni jangan melatah sangat. Hal politik jangan bergaduh,” tambah seorang lagi.
Projek Padi Lima Musim Fokus Tingkatkan Sara Diri Beras
Dalam lawatan sama, Anwar turut mengumumkan projek Penanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Muda yang bakal membawa reformasi menyeluruh kepada industri padi dan beras negara.
Kenapa ia penting
- Kurangkan kebergantungan kepada beras import
- Tingkatkan keupayaan pesawah
- Pastikan hasil tuaian mampan dan konsisten
“Inisiatif ini amat dekat di hati saya… pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting,” katanya. – The Malaysian Update
