KUALA LUMPUR – Seramai 39 jemaah umrah termasuk seorang mutawif yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi dijadualkan pulang ke tanah air malam ini, selepas usaha bantuan segera dilakukan oleh beberapa pihak.
Perkara itu disahkan oleh Mohd Firdaus Mat Akhir, atau dikenali sebagai Ustaz Firdaus Firabib, yang memainkan peranan utama membantu membelikan tiket penerbangan untuk semua jemaah terlibat.
“Seramai 39 jemaah termasuk seorang mutawif yang terkandas di Jeddah dibantu dengan menyediakan tiket penerbangan berjumlah kira-kira RM71,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Tiba Di KLIA Esok Pagi
Firdaus yang juga Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia Sdn Bhd berkata, kesemua jemaah dijadual menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Jeddah pada jam 9 malam (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.15 pagi esok.
Beliau berkata kakitangannya telah bertungkus-lumus sejak semalam untuk menguruskan isu ini, dengan bantuan sebuah agensi pelancongan lain yang turut menawarkan khidmat pembelian tiket penerbangan.
Kos Ditanggung Sementara, Sumbangan Diperlukan
“Saya turut mendahulukan RM4,000 bagi kos penginapan tambahan semua jemaah yang berada di Jeddah.”
Bagaimanapun, menurut Firdaus, jumlah sebenar yang diperlukan untuk kos makan dan pengangkutan ke lapangan terbang masih belum dapat dipastikan.
“Kita akan mengumumkan saluran sumbangan kepada orang ramai yang ingin membantu menampung kembali kos terbabit,” jelasnya.
Terkandas Selepas Tiada Tiket Pulang Disediakan
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa seramai 43 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Menurut mutawif, PU Abu atau nama sebenar Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, jemaah berusia antara 20 hingga 60 tahun itu terpaksa bermalam di sebuah apartmen berhampiran lapangan terbang selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan tanpa notis.
“Mereka tiba di Tanah Suci pada 16 Julai lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 26 Julai, namun terpaksa terus berada di Jeddah kerana tiada tiket penerbangan,” katanya. – The Malaysian Update
Sumber : Harian Metro
