SEREMBAN – Seorang pekerja kedai serbaneka, Noorazwin Zullkifli, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan pecah amanah jenayah hampir RM200,000, milik Koperasi Kampung LB Johnson Seremban Berhad, antara Februari 2023 hingga Mac 2024.
Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai kerani koperasi, didakwa memindahkan wang berjumlah RM199,491.79 dari akaun koperasi ke akaun peribadi miliknya secara atas talian, menggunakan peranti post terminal yang diamanahkan kepadanya, lapor Buletin Tv3.
Kesalahan didakwa dilakukan di Medan Koperasi, Kampung LBJ, Bandar Enstek, Nilai, antara 2 Februari 2023 hingga 22 Mac 2024.
Didakwa Di Bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun, sebat, serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendapatan RM1,800, Tiga Anak Di Bawah Tanggungan
Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan.
Peguam Ahmad Muzhaffar Abdul Razak memohon jumlah jaminan diringankan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,800 sebulan, bekerja di kedai serbaneka, dan mempunyai tiga anak berusia 4 hingga 7 tahun yang perlu ditanggung. Suami tertuduh pula bekerja di ibu negara dan jarang pulang.
Jaminan RM12,000, Sebutan Semula 9 September
Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, dilarang mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Kes akan disebut semula pada 9 September 2025. – The Malaysian Update
