Indonesia dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia, awal pagi Rabu dalam kejadian paling kuat di rantau itu sejak tahun 1952.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia memberi amaran tsunami di beberapa wilayah termasuk Kepulauan Talaud, Halmahera Utara, Papua Barat, Biak, Sorong dan Jayapura. Penduduk di kawasan ‘waspada’ dinasihatkan menjauhi pantai dan sungai.
PHIVOLCS Filipina turut mengeluarkan amaran tsunami setinggi kurang satu meter di lebih 20 wilayah seperti Pulau Batanes, Albay, Leyte, Davao dan Samar. Penduduk di pesisir pantai diminta berpindah ke kawasan tinggi, manakala bot diminta mengelak kawasan cetek.
Gelombang tsunami setinggi 30 sentimeter telah melanda Hokkaido, Jepun, dan agensi cuaca negara itu memberi amaran ombak setinggi 3 meter boleh mencecah pantai timur dan selatan Jepun.
Gempa bumi ini turut mencetuskan amaran tsunami di Jepun, Hawaii, Ecuador dan beberapa negara lain. Gegaran susulan hingga 7.5 magnitud turut dijangka.
Imbas Kembali 1952
Gempa 9.0 magnitud di kawasan sama pada 4 November 1952 pernah mencetuskan tsunami besar yang membadai seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan kemusnahan di Hawaii, Midway dan Semenanjung Kamchatka. – The Malaysian Update
