KAJANG – Remaja lelaki berusia 14 tahun yang tular kerana menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah di sini kelmarin, mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, hari ini.
Didakwa Pukul Guru Lelaki di Sekolah
Pengakuan itu dibuat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Menurut laporan Harian Metro, pelajar peralihan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap guru lelaki berusia 29 tahun pada jam 4.48 petang, Isnin lalu, di sekolah berkenaan.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Pendakwaan Mohon Jaminan Tinggi, Peguam Rayu Dikurangkan
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan alasan kes tersebut mendapat perhatian umum dan menjadi tular di media sosial. Namun, peguam tertuduh, S Priyalatha, merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya masih bersekolah dan merupakan pesalah juvana.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 September depan bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Terdahulu, wartawan yang hadir membuat liputan tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik mahkamah berikutan status tertuduh sebagai pesalah bawah umur.
Ibu Tertuduh Hadir, Anak Sudah Minta Maaf
Difahamkan, ibu bapa remaja terbabit turut hadir dalam prosiding hari ini. Ibunya yang berusia dalam lingkungan 40-an memaklumkan bahawa anaknya merupakan anak tunggal dan tinggal bersamanya selepas berpisah dengan bekas suami.
“Anak saya menyesal dan dah minta maaf kepada cikgu itu,” katanya ketika ditemui media di perkarangan mahkamah.
Kes Tular Selepas Video Berdurasi 38 Saat Dimuat Naik
Harian Metro sebelum ini turut melaporkan bahawa pelajar lelaki itu ditahan selepas guru berkenaan membuat laporan polis mendakwa ditumbuk dan diugut oleh pelajar terbabit.
Sebelum itu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi 38 saat menunjukkan pertengkaran antara dua individu termasuk insiden penumbukan yang mengundang kecaman netizen. – The Malaysian Update
