SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang pesara polis berpangkat Sarjan Mejar membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Aminuddin Amir, 66, pada akhir kes pendakwaan.
“Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pemilikan dadah oleh tertuduh berdasarkan anggapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala elemen pengedaran pula dibuktikan berdasarkan takrifan dalam Seksyen 2 akta sama iaitu menyimpan atau memiliki.
Justeru itu, berdasarkan Seksyen 180 Akta Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Lapor Sinar Harian, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Pilih beri keterangan bersumpah
Mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada tertuduh iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi,memberi keterangan dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau berdiam diri.
Aminuddin memilih untuk memberi keterangan bersumpah, manakala peguamnya, G. Subramaniam Nair, memaklumkan akan memanggil empat saksi termasuk anak guamnya dalam prosiding pembelaan nanti.
Didakwa edar ganja di belakang rumah
Mengikut pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram di sebuah pondok di belakang rumah di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol pada 14 September 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, mengikut peruntukan Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi.
Tarikh pembelaan ditetapkan
Mahkamah menetapkan prosiding pembelaan berlangsung pada 2 dan 3 Oktober 2025. – The Malaysian Update
