KOTA KINABALU – Polis Sabah telah merakamkan keterangan daripada 60 saksi berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, termasuk tiga individu dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar itu ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). Laporan awal menyatakan mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Siasatan Di Peringkat Akhir
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kini berada di peringkat akhir dan melibatkan pelajar, ibu bapa serta kakitangan sekolah.
“Semua saksi (yang diambil keterangan itu) membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Ini termasuk tiga pelajar yang dikaitkan dengan mangsa (‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’),” katanya dalam sidang media di lobi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Tidak Tolak Kemungkinan Unsur Buli
Jauteh tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes ini, namun menyerahkan kepada pihak Bukit Aman untuk menjalankan analisis menyeluruh.
“Siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran. Kes ini akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Nafi Kaitan Dengan Anak Kenamaan
Beliau turut menafikan dakwaan liar di media sosial kononnya kes itu melibatkan anak atau keluarga kenamaan termasuk dirinya sendiri.
“Saya ingin tegaskan, tiada anak saya yang sedang atau pernah bersekolah di situ. Ini bererti ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, siasatan juga tidak menjurus ke arah dakwaan kononnya mangsa adalah anak kepada individu berpengaruh.
Siasatan Profesional Dan Telus
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan dijalankan secara telus dan mengambil kira sensitiviti serta emosi pelajar yang menjadi saksi.
“Netizen mahu siasatan yang menyeluruh. Itu sebab kita ambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.
“Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa,” katanya lagi. – The Malaysian Update
