KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mayatnya ditemui di hutan Gunung Raya, Langkawi, pada 2019.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ramlan Abdul Rashid, 44, setelah mahkamah mendapati tertuduh bertanggungjawab atas kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah antara pukul 9 hingga 10 pagi pada 23 Februari 2019.
Menurut laporan Kosmo, dalam penghakiman bertulis yang diperoleh media menerusi laman web mahkamah hari ini, hakim menyatakan bukti keadaan yang dikemukakan adalah kukuh, walaupun punca kematian tidak dapat ditentukan secara forensik kerana hanya tengkorak dan dua batang gigi yang ditemui.
“Tertuduh merupakan individu terakhir bersama mangsa sebelum ditemui mati, dan juga membawa pihak polis ke lokasi penemuan mayat. Dia turut memberi alasan palsu kepada ibu mangsa serta melarikan diri dari Langkawi selepas laporan dibuat,” jelas hakim.
Mahkamah turut mengambil kira sejarah penderaan fizikal terhadap mangsa dan tindakan tertuduh membuang mayat kanak-kanak itu di dalam hutan tanpa menguruskan jasadnya mengikut tuntutan agama.
Ibu Mangsa Tinggal Bersama Tertuduh
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan telah tinggal bersama tertuduh di kuarters kerajaan sejak November 2018, dan meninggalkan anaknya dalam jagaan lelaki itu sepanjang dua bulan.
Mangsa dilaporkan hilang selepas ibunya gagal menemui anaknya di rumah tertuduh pada Februari 2019. Tertuduh mendakwa menyerahkan mangsa kepada orang lain tetapi enggan mendedahkan kepada siapa atau lokasi sebenar.
Siasatan lanjut membawa kepada penemuan tengkorak dan dua batang gigi kanak-kanak itu di hutan Gunung Raya selepas tertuduh menunjukkan lokasi tersebut kepada polis.
Isteri Tertuduh Dedah Keadaan Mangsa
Isteri tertuduh yang merupakan seorang jururawat memberi keterangan bahawa pada malam kejadian, dia terdengar tangisan mangsa sebelum tiba-tiba senyap. Ketika memeriksa bilik, dia mendapati kanak-kanak itu terbaring kaku, dalam keadaan bogel di atas tikar, dengan kesan melecur akibat rokok dan lebam pada badan.
Tertuduh kemudian mendakwa mangsa mengalami sawan, namun mahkamah menolak alasan tersebut berdasarkan bukti penderaan berpanjangan.
Mahkamah mendapati tertuduh tidak berperikemanusiaan dan menghukum beliau dengan hukuman mati mengikut peruntukan undang-undang. – The Malaysian Update
