KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Filipina telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu tanpa kuasa yang sah.
Tertuduh, Simfroso Trillana, 53, ditahan pada 30 Julai di Bahagian Kelahiran, Kematian & Anak Angkat, Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPN WPKL), hasil siasatan dan risikan dalaman oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan jabatan berkenaan.
Didakwa Tanpa Dokumen Sah
Simfroso yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah, didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dijalankan di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, dan tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar. Bagaimanapun, tertuduh telah melunaskan denda tersebut pada hari sama.
Komitmen Banteras Pemalsuan Dokumen
JPN WPKL dalam satu kenyataan menegaskan komitmen pihaknya untuk terus membanteras pemalsuan dokumen pengenalan diri bagi menjaga keselamatan dan integriti sistem pendaftaran negara. – The Malaysian Update
