LAHAD DATU – Sepasang suami isteri disyaki aktif mengedar dadah diberkas dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini, semalam.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu turut menahan tiga individu, termasuk seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di Kampung Sapadulang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemui 0.17 gram syabu dianggarkan bernilai RM18.70.
“Siasatan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya hari ini.
Rampasan Lebih 150 Gram Syabu
Tangkapan awal membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8 yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isterinya, 34 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui 157.54 gram syabu dianggarkan bernilai RM17,329.40 serta menyita sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit, wang tunai dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran.
“Ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif,” katanya.
Ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) akta sama. – The Malaysian Update
