Friday, December 05, 2025

Amalan Khurafat di Tanah Perkuburan Guar Panji Dikesan JAIPs

August 3, 2025
1 min read

PADANG BESAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) telah membongkar satu perbuatan khurafat membabitkan tindakan menanam objek mencurigakan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Guar Panji, Beseri.

Menurut hantaran dimuat naik di Facebook rasmi JAIPs, kejadian itu disedari pada 31 Julai lalu selepas pihaknya menerima aduan berkaitan amalan bertentangan dengan ajaran Islam yang berlaku di lokasi berkenaan.

Bukti fizikal perbuatan khurafat

Jurucakap JAIPs berkata, hasil siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan untuk tujuan mistik dan bertentangan dengan syarak.

“Susulan aduan diterima, JAIPs dengan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar telah menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

“Ada bukti fizikal yang menguatkan dakwaan berlakunya amalan khurafat di kawasan itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Antara yang ditemukan di lokasi ialah dua objek bulat menyerupai telur yang tertulis satu nama, serta satu objek lain menyerupai tulang.

Proses pembersihan bersama pengamal perubatan Islam

JAIPs turut menjemput pengamal perubatan Islam, Ustaz Muhammad Munir Zakaria, untuk menjalankan proses pembersihan dan penghapusan unsur khurafat di kawasan tersebut.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan tanah perkuburan dihormati sebagai tempat suci umat Islam serta bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat.

“Sebarang bentuk amalan bertentangan akidah Islam adalah dilarang dan orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan kesucian agama di negeri ini,” katanya.

JAIPs turut menyeru jawatankuasa kariah agar memantau serta menjaga kesucian tanah perkuburan masing-masing supaya tidak menjadi lokasi amalan bertentangan ajaran Islam. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Kembali ke Rahmatullah

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66,

Kes Lemas Taman Prima Saujana: Adik Meninggal Dunia Di Hospital, Abang Masih Hilang – Polis

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan