Friday, December 05, 2025

Tiada Perlindungan Kepada Pihak Terlibat Kematian Zara Qairina – PM Anwar

August 3, 2025
1 min read
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, semasa majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). 3 Ogos 2025. FOTO IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada hukuman sekiranya terbukti terlibat dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan kejadian buli baru-baru ini.

Menurut Anwar, kes tersebut bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan dan beliau telah mengarahkan siasatan menyeluruh dan segera dijalankan.

Siasatan Menyeluruh Dijalankan

“Baru-baru ini ada kematian (berkaitan kes Zara Qairina) dan Menteri Pendidikan ‘diserang’. Kematian dengan cara itu bukan perkara yang dipandang ringan dan perlu siasatan mendalam dengan kadar segera. Ini tanggungjawab kita bersama untuk cari (pembunuh) dan bukan tuduh sesiapa,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Tambahnya, beliau telah berbincang secara langsung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.

“Dia (Mohd. Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan,” jelas Anwar.

Tiada Layanan Istimewa Walau Berjawatan Tinggi

Menurut Perdana Menteri lagi, laporan lengkap polis telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun, Tan Sri, Datuk Seri, menteri atau anak menteri – jika terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersengkongkol, semuanya tidak akan diberi perlindungan tetapi jangan memfitnah,” tegasnya. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Kembali ke Rahmatullah

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66,

Kes Lemas Taman Prima Saujana: Adik Meninggal Dunia Di Hospital, Abang Masih Hilang – Polis

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan