KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai tukang kayu ditemui maut dalam sebuah kenderaan jenis Proton X70 di atas jejambat pusingan U dari Kepong menghala ke Damansara, awal pagi tadi.
Kenderaan itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak polis menerima maklumat sekitar jam 1.30 pagi mengenai kemungkinan berlaku kemalangan maut di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, laporan awal menyatakan seolah-olah berlaku kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan.
“Maklumat awal diterima menyatakan berlaku kemalangan maut, kerana keadaan kenderaan seolah-olah mengalami perlanggaran. Kematian mangsa disahkan oleh pasukan perubatan dari Hospital Selayang pada jam 5.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pasukan forensik mendapati terdapat kesan lilitan dan jerutan tali pinggang keledar pada bahagian leher mangsa.
Mangsa disahkan sebagai lelaki tempatan yang bekerja sebagai tukang kayu.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan segala aspek berkaitan insiden berkenaan. – The Malaysian Update
