NEW DELHI – Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat melanda kampung Dharali di daerah Uttarkashi, India, hari ini.
Bencana itu berlaku susulan fenomena ‘cloudburst’ atau hujan luar biasa lebat secara tiba-tiba di hulu Sungai Kheer Ganga yang mencetuskan kemusnahan besar, lapor saluran berita NDTV.
Pegawai Daerah Uttarkashi, Prashant Arya mengesahkan jumlah kematian setakat ini adalah empat orang, manakala seramai 10 hingga 12 pekerja dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Puluhan Ternakan Hanyut, Pasukan Penyelamat Dikerah
Lebih 18 ekor kambing dilaporkan hanyut di kawasan Banala Patti akibat aliran deras dari Sungai Kud Gadhera.
Beberapa hotel, rumah tumpangan, dan restoran di kawasan pelancongan Dharali turut musnah sepenuhnya, dihanyutkan arus deras bersama lumpur dan serpihan kayu.
Pasukan tentera, penyelamat dan helikopter Tentera Udara India (IAF) telah digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat, sementara 37 mangsa termasuk kanak-kanak dan wanita berjaya diselamatkan oleh Pasukan Sempadan India-Tibet.
Amaran Cuaca Buruk Hingga 9 Ogos, Sekolah Ditutup
Jabatan Meteorologi India (IMD) telah mengeluarkan amaran merah berikutan jangkaan hujan lebat berterusan di seluruh negeri Uttarakhand sehingga 9 Ogos.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah di beberapa daerah termasuk Dehradun dan Haridwar diarahkan tutup sehingga notis lanjut. – The Malaysian Update
