NARATHIWAT – Penyanyi Malaysia, Eda Ezrin, akhirnya dibebaskan dari Penjara Narathiwat hari ini selepas sembilan bulan ditahan berhubung kes dadah.
Eda, 30, dibebaskan bersama suaminya dan empat individu lain kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan selepas Mahkamah Penjara Narathiwat menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh rayuan buat kali keenam.
Pendakwa Gagal Buktikan Kes
Kesemua mereka sebelum ini ditahan polis Sungai Golok dalam serbuan di sebuah hotel pada 1 November tahun lalu, selepas didakwa memiliki 6,059 pil Yaba.
Namun, keputusan mahkamah hari ini berpihak kepada mereka selepas pendakwa raya gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk meneruskan rayuan.
Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat kini sedang menguruskan surat pembebasan rasmi sebelum kesemua mereka diserahkan kepada pihak penjara.
Beberapa pegawai imigresen Thailand turut dilaporkan telah berada di penjara bagi mengiringi Eda dan kumpulannya ke sempadan Sungai Golok, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia. – The Malaysian Update
