KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki dalang utama geng pecah rumah dan sindiket pengedaran dadah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam Op Api KL 3/2025 di Jalan Bukit Tunku, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi apabila suspek yang memandu kereta mewah jenis BMW berjaya dipintas oleh pasukan polis, sebelum berlaku aksi tembak-menembak yang meragut nyawa suspek di tempat kejadian.
Cari Sasaran Samun Baru
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu berada di kawasan berkenaan bagi mengesan sasaran baharu untuk kegiatan samun.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, suspek dipercayai merupakan ketua kumpulan jenayah yang aktif di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak sejak tahun lalu.
“Suspek yang ditembak mati dipercayai dalang utama dalam kegiatan pecah rumah dan pengedaran dadah. Kita turut merampas sepucuk pistol jenis revolver yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak ini,” katanya.
Rekod Jenayah Berat & Modus Operandi
Hasil semakan mendapati suspek memiliki 44 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, jenayah kekerasan serta dadah.
Modus operandi kumpulan terbabit ialah menyasarkan kediaman dan premis perniagaan yang mempunyai peti keselamatan, bar emas dan wang tunai. Mereka juga dipercayai menyamar sebagai anggota polis semasa melakukan jenayah.
“Kita percaya kumpulan ini turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan mempunyai lebih belasan ahli. Usaha mengesan saki-baki anggota sedang giat dijalankan,” tambah beliau.
Keseluruhan kerugian akibat kegiatan kumpulan tersebut dianggarkan melebihi RM1 juta.
Mayat suspek telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. – The Malaysian Update
