KUALA LUMPUR – Tular di media sosial sejak malam Selasa, sebuah video memaparkan seorang lelaki berbangsa India merayu bantuan penumpang dalam sebuah tren, mendakwa dirinya diekori dan ingin dibunuh.
Dalam rakaman berdurasi hampir satu minit itu, lelaki berkenaan kelihatan menggigil sambil memegang beberapa helaian kertas, dipercayai laporan polis atau dokumen berkaitan insurans, sambil menceritakan situasi cemas yang dialaminya.
“Dari pagi mereka ikut saya, kak. Abang saya ambil insurans, nak bunuh saya… mereka hantar orang ikut saya. Tolong viralkan, tolong selamatkan saya. Tiada orang nak bantu saya,” katanya dalam nada cemas.
Lelaki itu turut merayu agar rakaman video tersebut dimuat naik ke media sosial seperti TikTok dan Facebook sebagai usaha untuk mendapatkan perhatian dan bantuan orang awam.
Setakat ini, video berkenaan telah meraih lebih 2.2 juta tontonan di TikTok dan mendapat pelbagai reaksi simpati netizen yang mendoakan keselamatannya.
Caprice Tampil Prihatin, Ajak Orang Awam Bantu
Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice turut memuat naik video tersebut di laman Instagram miliknya, menyeru orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan atau mengetahui keadaan sebenarnya agar tampil membantu.
“Siapa-siapa kenal mangsa dan tahu apa kes atau perlu bantuan, beritahu kami,” tulisnya ringkas.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan risau dengan keadaan lelaki itu.
“Macam mana keadaan dia sekarang? Semoga Allah lindungi dia,” tulis seorang pengguna.
“Kesiannya. Menggigil-gigil tangan dia sambil merayu,” tambah yang lain.
“Ngeri, macam dalam filem,” kata seorang netizen.
Setakat ini, tiada pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan lelaki berkenaan, namun ramai menyuarakan harapan agar dia diberikan perhatian dan perlindungan sewajarnya. – The Malaysian Update
