RANTAU PANJANG – Polis Kelantan akan menahan penyanyi popular, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat rakannya sebaik sahaja mereka memasuki negeri ini pada petang Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, penahanan tersebut adalah bagi tujuan merakam keterangan berhubung siasatan kes.
“Kita telah menempatkan anggota untuk tindakan berkenaan,” katanya kepada media.
Tambah beliau, dua daripada enam individu terbabit iaitu Eridieka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan ditahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1958/63 kerana memasuki Thailand secara haram.
Dirakam keterangan dan ujian air kencing
Turut akan ditahan untuk rakaman keterangan ialah suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta dua lagi rakan mereka, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nur Aida Mamat, 33.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, rakaman keterangan akan dijalankan oleh JSJN Kelantan, termasuk pengambilan sampel air kencing daripada semua yang terlibat.
Bebas dari penjara Thailand
Sebelum ini, kesemua mereka dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu selepas mahkamah Thailand menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung rayuan buat kali keenam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kumpulan itu dijangka tiba di Balai Polis Sungai Golok pada petang Khamis sebelum ke Depot Tahanan Imigresen Golok untuk proses dokumentasi sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan. – The Malaysian Update