ISLAMABAD, 7 Ogos – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 28 tahun lalu ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan hampir tidak terjejas selepas glasier mencair di kawasan pergunungan Kohistan, Pakistan.
Ditemui Secara Tidak Sengaja
Mangsa dikenali sebagai Naseeruddin, disahkan hilang sejak Jun 1997 selepas dipercayai terjatuh ke dalam rekahan glasier semasa ribut salji. Ketika itu, beliau menunggang kuda bersama abangnya, Kathiruddin, merentas lembah akibat pertelingkahan keluarga.
Penemuan mengejutkan itu dibuat oleh seorang penggembala kambing, Omar Khan, di kawasan Lady Valley.
“Mayat itu sempurna. Bajunya pun tak koyak,” kata Omar kepada BBC.
Identiti Disahkan Melalui Kad Pengenalan
Polis menemui kad pengenalan pada mayat dan mengesahkan identiti mangsa. Usaha mencari sebelum ini gagal menemui sebarang petunjuk — sehinggalah glasier mencair baru-baru ini.
Mumifikasi Semula Jadi Dalam Glasier
Ketua Jabatan Alam Sekitar Universiti COMSATS, Prof Muhammad Bilal, berkata tubuh manusia boleh kekal tidak mereput dalam glasier disebabkan suhu ekstrem serta ketiadaan oksigen dan kelembapan iaitu satu bentuk mumifikasi semula jadi.
Keluarga Dimaklum, Urusan Jenazah Dijalankan
Jenazah kini dalam proses pengurusan oleh pihak berkuasa tempatan dan keluarga mangsa telah dimaklumkan. – The Malaysian Update
