Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA, sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasanya dalam dunia keusahawanan apabila berjaya menjual 100,000 paket Rendang Nyet Berapi dalam tempoh hanya 78 saat bersempena pelancaran produk ketiganya pada malam ini.
Menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya, KA melancarkan jualan Rendang Nyet Berapi secara dua pusingan.
Jualan Pertama Laku Keras Dalam 30 Saat
Pada pusingan pertama, sebanyak 70,000 paket berjaya dijual dalam masa hanya 30 saat, dengan jumlah jualan mencecah RM1.2 juta. Permintaan yang tinggi menyebabkan ramai penonton tidak sempat membuat pembelian, lalu mendesak KA membuka pusingan jualan kedua.
Jualan Kedua Habis Dalam 48 Saat
Tanpa mengecewakan peminat, KA membuka semula jualan pusingan kedua. Mengejutkan, 30,000 paket terakhir turut habis terjual dalam masa 48 saat, menjadikan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM1.8 juta hanya dalam masa lebih satu minit.
Lima Pembeli Terpantas Menang Percutian ke New Zealand
Dalam kejutan berganda, KA turut mengumumkan senarai lima pemenang giveaway yang merupakan pembeli terpantas. Mereka akan dibawa bercuti ke South Island, New Zealand pada bulan Oktober ini dan boleh membawa seorang pasangan masing-masing dan ini menjadikan jumlah peserta seramai 10 orang.
“Bulan 10 ini KA akan bawa lima orang pergi bercuti ke New Zealand dan korang boleh bawa plus one lagi,” ujar KA.
Tambahnya lagi, selain menikmati pemandangan indah langit biru di sana, beliau juga akan melibatkan para pemenang dalam sesi memasak bersama-sama. – The Malaysian Update
