WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Intel, Lip-Bu Tan, meletakkan jawatan serta-merta susulan dakwaan mempunyai konflik kepentingan membabitkan hubungan dengan syarikat-syarikat di China.
Trump desak Tan letak jawatan
“CEO Intel sangat mempunyai konflik dan mesti meletakkan jawatan segera. Tiada penyelesaian lain,” kata Trump di platform Truth Social, sehari selepas Senator Republikan, Tom Cotton, menyuarakan kebimbangan keselamatan negara berhubung isu tersebut.
Cotton dalam surat terbuka kepada Intel mendakwa Tan mengawal puluhan syarikat China dan memiliki kepentingan dalam ratusan syarikat pembuatan cip serta teknologi maju di negara itu. Sekurang-kurangnya lapan daripadanya dikatakan mempunyai kaitan dengan Tentera Pembebasan Rakyat China.
Isu lama ketika di Cadence Design Systems
Beliau turut mempersoalkan peranan Tan ketika mengetuai Cadence Design Systems, yang menurutnya pernah mengaku bersalah menjual produk secara haram kepada sebuah universiti tentera China dan memindahkan teknologi kepada syarikat semikonduktor China tanpa lesen.
Tan, kelahiran Malaysia dan veteran industri teknologi, mengambil alih kepimpinan Intel pada Mac lalu ketika syarikat itu berdepan tekanan akibat tarif serta sekatan eksport oleh AS.
Intel sebelum ini mendominasi pasaran cip komputer tradisional, namun kini disaingi syarikat gergasi Asia seperti TSMC dan Samsung, selain dibayangi kebangkitan Nvidia sebagai peneraju cip kecerdasan buatan (AI) dunia. – The Malaysian Update
