KOTA KINABALU – Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada jam 10.30 malam tadi selepas proses penggalian semula kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang petang semalam.
Jenazah remaja berusia 13 tahun itu dibawa menaiki trak polis terus ke bahagian radiologi hospital untuk menjalani imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) sebelum bedah siasat dijadualkan pada jam 9 pagi ini.
Ibu Setia Menemani
Ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, 45, dilihat setia menemani anaknya sepanjang perjalanan dari Sipitang ke hospital.
Peguam Noraidah, Hamid Ismail, berkata pihaknya dimaklumkan oleh pakar patologi Dr Jessie Hiu bahawa tempoh bedah siasat belum dapat dipastikan.
“Jika selesai esok, jenazah akan dikebumikan semula serta-merta,” katanya ketika ditemui di pekarangan HQE.
Suasana Kawalan Ketat
Menurut Hamid, Noraidah dilihat tenang ketika melihat jasad anaknya semasa proses penggalian semula.
Sejak jam 7 malam, pasukan perubatan dan keselamatan berkawal di pintu masuk utama hospital, manakala ratusan orang awam berkumpul di pekarangan HQE.
Arahan Jabatan Peguam Negara
Penggalian semula kubur Zara Qairina dilakukan atas arahan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan dan siasatan lanjut dilaksanakan untuk memastikan semua aspek kes diteliti. – The Malaysian Update
