SIPITANG – Jasad Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang digali semula petang tadi dilaporkan masih dalam keadaan baik dan utuh, walaupun sudah hampir sebulan dikebumikan.
Imam Sahkan Keadaan Jasad
Imam Rawatib Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang, Amani Azral, yang turut terlibat dalam proses penggalian semula mengesahkan perkara itu.
“Bukan saya seorang saja yang menyaksikannya, malah ramai lagi termasuk anggota polis, pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), imam-imam, dan wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan ibu arwah mendakwa jasad anaknya masih dalam keadaan baik, dengan Amani turut mengiyakan kenyataan tersebut.
Laungan Takbir Iringi Pemindahan Jasad
Proses penggalian semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol bermula pada 6.04 petang dan selesai pada 7.31 malam. Laungan takbir mengiringi pemindahan jasad ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat yang dijadualkan jam 9 pagi esok. – The Malaysian Update
