KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi kerjasama penuh dalam siasatan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan, tiada pihak akan dilindungi jika terbukti wujud salah laku terhadap pelatih berusia 22 tahun itu.
Arah UTM Beri Kerjasama Penuh
Menurutnya, seperti dilapor TV3, beliau telah mengarahkan UTM memastikan kerjasama sepenuhnya diberikan kepada jawatankuasa siasatan, selain menolak sebarang usaha melindungi pihak tertentu sekiranya ada unsur tidak baik dilakukan terhadap Allahyarham.
“Siasatan akan dijalankan secara telus demi keadilan kepada keluarga. Paling mustahak, jawatankuasa siasatan memberikan laporan lengkap, sementara isu dibangkitkan keluarga diberi perhatian segera,” katanya selepas menziarahi keluarga arwah di kediaman mereka, hari ini.
Siasatan Libat Pelbagai Kementerian
Beliau turut memaklumkan, jawatankuasa siasatan itu turut melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Syamsul Haris, pelatih PALAPES UTM cawangan Skudai, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA). Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. – The Malaysian Update