PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, berhubung sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33.
Mahkamah Tegas Lindungi Mangsa OKU
“Kami sebulat suara mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi. Mangsa adalah OKU di bawah jagaan perayu yang telah diamanahkan. Walaupun tanpa amanah sekalipun, manusia tidak sepatutnya tergamak mencederakan, apatah lagi haiwan pun tidak akan melakukannya,” kata Datuk Azman.
Mahkamah turut menasihatkan orang awam supaya mengambil iktibar dan takut pada undang-undang.
Pasukan Pendakwaan
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Percubaan Bawa Bukti Baharu Gagal
Sebelum ini, pembelaan cuba mengemukakan bukti baharu dalam rayuan akhir, iaitu laporan polis oleh Ismanira Abdul Manaf – ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan – yang menyentuh kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan. Permohonan itu difailkan pada 19 Mei lalu.
Latar Belakang Kes
Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella, ketika itu berusia 13 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021. – The Malaysian Update