TAWAU – Seorang wanita yang parah dirempuh trak pikap dipandu lelaki dipercayai mabuk, meninggal dunia pagi tadi selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.
Mangsa, Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia jam 8.37 pagi akibat brain death susulan insiden pada 10 Ogos lalu di Batu 9, Jalan Apas, lapor Harian Metro.
Meninggalkan Lima Anak
Adiknya, Yusmi Tajudin, 39, berkata arwah meninggalkan lima anak berusia antara 9 hingga 18 tahun.
“Buat masa ini kami belum dapat tentukan bila jenazah akan dikebumikan kerana masih menunggu prosedur siasatan polis,” katanya.
Pemandu Hilang Kawalan
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu pikap Toyota Hilux berusia 57 tahun melanggar sebuah MPV Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh mangsa yang sedang berjoging.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – The Malaysian Update
