KUALA LUMPUR – Siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir menjurus kepada tiga elemen utama iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.
“Saya tidak menolak, berdasarkan kesimpulan siasatan, memang wujud elemen buli. Justeru, tiada sebarang usaha atau percubaan menutup perkara ini boleh diterima kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Pentadbir sekolah juga perlu diingatkan agar setiap insiden dibawa ke perhatian pihak berwajib.
“Selain itu, terdapat elemen pengabaian kerana arwah pernah membuat aduan kepada pihak sekolah, dan perkara ini turut disiasat. Begitu juga dengan elemen gangguan seksual yang sedang diteliti,” katanya pada sesi penerangan menteri selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution berkata kini terpulang kepada AGC untuk menentukan hala tuju seterusnya, sama ada melakukan pertuduhan atau sebaliknya, selain memastikan prosiding inkues dilaksanakan sebagai platform terbaik untuk semua pihak membentangkan bukti secara telus dan terbuka.
Sumber : BERNAMA