KOTA KINABALU – Peguam mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak menegaskan pembelaan dilakukan secara pro bono dan menolak dakwaan bahawa mereka anak golongan VVIP.
Datuk Ram Singh berkata, beliau bersama dua lagi peguam iaitu Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan tampil secara sukarela tanpa bayaran.
“Saya sedih dan sebagai bapa, memandangkan mereka masih kanak-kanak. Sebab itu saya lakukan secara pro bono bersama peguam lain. Mereka bukan anak VVIP,” katanya sebelum prosiding, Rabu, seperti dilapor Buletin Tv3.
Gag order lindungi identiti
Dalam prosiding itu, mahkamah mengeluarkan gag order bagi melindungi identiti lima remaja terbabit.
Peguam keluarga arwah akur
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu Allahyarham Zara berkata pihaknya tidak boleh mengulas mengenai prosiding kerana tertakluk kepada Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan gag order.
Namun katanya, gag order hanya terpakai untuk kes jenayah itu sahaja, dan inkues boleh dilaporkan. – The Malaysian Update
