KOTA BHARU – Kisah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang gagal mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank di Kubang Kerian, meraih perhatian ramai selepas tular di media sosial.
Kejadian berkenaan dirakam seorang remaja perempuan dan dikongsikan menerusi akaun TikTok miliknya, nninieeee, pada Rabu.
Menurutnya, lelaki berkenaan, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 44, beberapa kali mencuba namun tetap tidak berhasil.
“Mungkin bank pak cik itu ada masalah, ada sorang makcik tegur dia ‘nak ambil duit ke?’
Pak cik itu jawab, ‘ya… susah ya kak nak besarkan anak, dalam keadaan begini pun saya kena teruskan demi anak’,” tulis kapsyen video tersebut.
Rakaman itu turut memperlihatkan wajah anak perempuannya yang menunggu di luar bank dengan riak murung apabila si ayah terpaksa pulang tanpa membawa wang.
Bekas atlet paralimpik
Difahamkan, Muhammad Hafidz dan isterinya, Nurul Izzaifah Daud, 36, merupakan bekas atlet paralimpik Kelantan yang pernah aktif suatu ketika dahulu sebelum bersara.
Kini pasangan itu bekerja keras menyara dua anak mereka yang normal.
Pernah tular berniaga keropok lekor
Muhammad Hafidz yang juga peniaga kecil pernah tular sebelum ini apabila memohon untuk menjalankan perniagaan keropok lekor di hadapan sebuah pusat beli-belah di Kubang Kerian.
Perkongsian mengenai kejadian terbaru ini sekali lagi mencetuskan pelbagai reaksi warga maya yang bukan sahaja bersimpati, malah mengagumi ketabahan beliau yang terus gigih berusaha meskipun berdepan kekangan fizikal. – The Malaysian Update
