PONTIAN – Sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarah tutup selama 30 hari selepas mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada Rabu lalu dan tular di media sosial.
Notis penutupan diserahkan
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan diserahkan kepada pemilik premis berkenaan pada jam 8.20 pagi, hari ini lapor BH Online.
Langgar undang-undang kecil
Katanya, pemeriksaan mendapati premis itu melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis yang dilesenkan diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul, terutama sempena bulan kemerdekaan.
Tindakan ikut uuk 49(2)
“Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pemilik boleh buat rayuan
Beliau berkata, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis sepanjang tempoh penutupan, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn. – The Malaysian Update
