DUNGUN – Seorang lagi peserta Himpunan RXZ Members 7.0 maut dalam kemalangan di Kilometer 342.9, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran R&R Paka, tengah hari tadi.
Mangsa maut di lokasi
Mangsa, Muhammad Irfan Izzuddin Md. Ahzli, 20, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan dalam nahas kira-kira jam 1.22 petang.
Dalam perjalanan pulang
Difahamkan, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor bersama konvoi selepas menghadiri perhimpunan berkenaan di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus.
Hilang kawalan
Menurut laporan Kosmo!, motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terseret ke lorong kanan lebuh raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Tragedi berulang
Untuk rekod, sebelum ini empat lagi peserta RXZ Members 7.0 turut maut dalam kemalangan berasingan sejak himpunan tersebut berlangsung. – The Malaysian Update