BALIK PULAU – Seorang guru wanita berusia 28 tahun nyaris maut selepas suaminya sendiri cuba mengelar lehernya dalam kejadian di kediaman keluarga di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, awal pagi tadi.
Dalam insiden sekitar sebelum Subuh itu, suspek berusia 30 tahun dikatakan menindih isterinya di atas katil sebelum cuba bertindak menikam mangsa dengan pisau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan dari bilik tidur tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.
“Ibu mangsa sempat menarik anaknya keluar dari bilik. Dalam masa sama, suspek dilihat mengelar tangan dan lehernya sendiri di atas katil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian lapor Kosmo!.
Hidup Harmoni Sebelum Tragedi
Pasangan itu difahamkan baru bangun tidur sebelum insiden berlaku. Mereka yang juga bekas penuntut sebuah institusi di Beijing kini mempunyai seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun.
Mangsa wanita dilaporkan stabil dengan kecederaan pada leher, manakala suspek cedera parah di tangan dan leher, kini dirawat di Zon Merah Hospital Pulau Pinang.
Menurut polis, pasangan terbabit sebelum ini tidak mempunyai masalah rumah tangga, kewangan mahupun kesihatan, malah hidup dalam suasana harmoni.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – The Malaysian Update