JAKARTA – Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan hilang manakala enam lagi terkorban selepas gelombang bantahan besar-besaran melanda Indonesia berhubung isu kenaikan elaun serta kemewahan ahli parlimen.
Menurut Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), pihaknya menerima 23 laporan kehilangan sejak protes bermula minggu lalu, namun setakat semalam, hanya tiga berjaya dikesan manakala 20 lagi masih belum ditemui.
Mangsa yang hilang dipercayai berada di sekitar Bandung, Depok serta beberapa kawasan di Jakarta termasuk Jakarta Pusat, Timur dan Utara. Malah terdapat satu insiden berlaku di lokasi yang belum dikenal pasti.
Insiden Ganas Cetus Kemarahan
Protes yang pada awalnya berlangsung aman bertukar ganas selepas tular rakaman seorang penunggang teksi motosikal maut dilanggar kenderaan perisai polis. Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai sekali gus menambah tekanan terhadap pihak berkuasa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa siasatan segera berhubung dakwaan penggunaan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan.
Prabowo U-Turn
Kekacauan yang berlaku di Jakarta dan beberapa bandar utama lain akhirnya memaksa Presiden Prabowo Subianto menarik balik elaun serta keistimewaan ahli parlimen – langkah yang dilihat sebagai pusingan U terbesar sejak beliau mengambil alih kuasa 10 bulan lalu.
Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut dikerahkan bagi mengawal keadaan dengan ratusan penunjuk perasaan masih berkumpul di luar bangunan parlimen.
Protes kali ini disifatkan sebagai yang terburuk sepanjang era pentadbiran Prabowo. – The Malaysian Update