Thursday, September 11, 2025

Xi Jinping Pimpin Perarakan Beijing, China Pamer Kuasa Ketenteraan

September 4, 2025
2 mins read

BEIJING – China mempamerkan kekuatan ketenteraannya menerusi perarakan besar-besaran di Dataran Tiananmen, Beijing, yang disaksikan pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin serta pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Ribuan Awam Banjiri Dataran Tiananmen

Ribuan orang awam mula membanjiri kawasan bersejarah itu sejak awal pagi. Dataran Tiananmen dihiasi bendera merah serta ribuan tempat duduk, manakala angka gergasi “1945” dan “2025” dipasang sebagai simbol 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua dan kekalahan Jepun.

Pameran Senjata Canggih

Suasana bertambah meriah dengan muzik band ketenteraan dan derapan kaki tentera yang berarak penuh disiplin. Perarakan kali ini menampilkan gabungan senjata konvensional dan teknologi canggih termasuk laser pertahanan udara, jet pejuang teknologi penyamaran, peluru berpandu anti-kapal, peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu, dron bawah laut serta robot anjing, menjadi bukti pelaburan besar Beijing dalam keupayaan peperangan moden.

Xi Bergandingan Dengan Putin & Kim

Dalam detik jarang disaksikan, Presiden Xi dirakam bersalaman serta berbual dengan Putin dan Kim sebelum bergambar bersama pemimpin asing lain. Xi yang mengenakan sut gaya Mao turut berdiri di atas limosin hitam terbuka sambil memberi tabik hormat kepada anggota tentera di sepanjang Jalan Chang’an.

“Rakan seperjuangan, anda semua sudah bekerja keras!” laung Xi berulang kali menerusi mikrofon sebelum menyertai para tetamu di pentas utama bersebelahan potret ikonik Mao Zedong.

Simbol Kesepakatan Pemimpin

Salah satu momen paling mencuri tumpuan adalah ketika Xi berjalan menuju ke rostrum Tiananmen, diapit Putin dan Kim di kiri dan kanan, manakala pemimpin dunia lain mengikuti di belakang. Gambar itu menjadi simbolik kepada kesepakatan antara tiga pemimpin autoritarian yang berkongsi visi mencabar dominasi Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.

Pertemuan Tertutup Dua Jam

Selepas perarakan, Putin dan Kim mengadakan pertemuan tertutup lebih dua jam. Putin turut menjemput Kim ke Rusia, selain mengucapkan terima kasih kepada tentera Korea Utara yang berjuang untuk Moscow dalam perang menentang Ukraine. Kim pula memberi jaminan negaranya akan terus menyokong Rusia “sebagai saudara.”

Kehadiran Keluarga Kim Cetus Spekulasi

Menariknya, Kim membawa dua anggota keluarganya ke Beijing iaitu adiknya, Kim Yo Jong yang juga penasihat paling rapat, serta seorang anak perempuan yang dipercayai Kim Ju Ae, sekali lagi mencetuskan spekulasi mengenai pewaris masa depan kepimpinan Korea Utara.

Sindiran Trump, Jawapan Moscow

Dalam pada itu, ketika perarakan berlangsung, bmPresiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempat menulis di media sosial dengan nada menyindir: “Semoga Presiden Xi dan rakyat China menikmati hari perayaan yang hebat dan bermakna. Sampaikan salam hangat saya kepada Vladimir Putin dan Kim Jong Un, ketika anda semua bersekongkol menentang Amerika Syarikat.”

Bagaimanapun, seorang pembantu presiden Rusia menolak kenyataan itu dengan menyatakan: “Tiada siapa yang bersekongkol.”

China Tegaskan Status Kuasa Besar

Majlis penuh gilang-gemilang itu berlangsung dalam cuaca panas terik mencecah 35 darjah Celsius menyebabkan sebahagian penonton kepenatan dan dibantu keluar oleh petugas. Namun, persembahan penuh kawalan dan teknologi perang baharu jelas memperlihatkan Beijing mahu menegaskan kedudukannya sebagai kuasa besar di pentas global.

Penganalisis berpendapat, perarakan ini bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi mesej jelas Beijing kepada dunia bahawa China kini berdiri sebaris malah mampu mencabar kuasa besar lain dalam menentukan hala tuju geopolitik antarabangsa. – The Malaysian Update

Sumber : Al Jazeera, CNN

HANGAT MINGGU INI

Toyota Alphard Disita JPJ, Ibu Luah Kesedihan Anak Menangis Depan Mata

KUALA LUMPUR – Seorang pengguna TikTok meluahkan rasa kecewa selepas kenderaan Toyota

Protes Anti-Rasuah Nepal: Menteri Kewangan Dikejar & Ditendang Penunjuk Perasaan

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam protes