ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa pihak berkuasa menyiasat isu caj sewa tapak parkir sebanyak RM400 di Baling yang tular sejak semalam.
“Melampau, Tekan Peniaga Kecil”
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff menyifatkan caj tersebut sebagai melampau dan menekan peniaga kecil.
“Apa yang disuarakan oleh individu terbabit tentang caj parkir tersebut adalah berasas dan patut didengar. Peniaga di tepi jalan ini mereka ingin menjual barang lebih murah dan ini akan memberi kebaikan kepada pengguna juga.
“Tetapi jika ini harga tapak melebihi pasar raya bagaimana peniaga ini dapat menjual barang pada harga murah lagipun mereka hanya peniaga kecil-kecilan sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Tular Selepas Pempengaruh Bersuara
Lapor Kosmo!, isu berkenaan mula tercetus selepas seorang pempengaruh yang juga peniaga minuman hipster meluahkan rasa kecewa di media sosial berhubung caj tersebut sehingga mencetuskan perdebatan hangat.
Beliau menegaskan pihak berwajib perlu menyiasat agar tiada pihak mengambil kesempatan.
“Caj ini terlampau tinggi sampai RM400 tetapi di kawasan lain tidak mengenakan caj sebegini. Kita harap insiden ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Cake berharap semua pihak lebih prihatin terhadap nasib peniaga kecil agar mereka tidak terus ditekan dengan caj tidak munasabah. – The Malaysian Update
