KOTA KINABALU – Prosiding inkues kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bersambung hari ini dengan seorang doktor dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HEQ) dijangka dipanggil memberi keterangan.
Memetik laporan Kosmo!, peguam mewakili ibu Allahyarham, Shahlan Jufri berkata, sekiranya masa mencukupi, ketua warden asrama juga berkemungkinan dipanggil selepas keterangan daripada pihak doktor selesai direkodkan.
Enam Saksi Sudah Dipanggil
Setakat ini, enam saksi sudah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Mereka termasuk pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu yang menjalankan bedah siasat; pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh; doktor jabatan kecemasan, Dr Janefer Voo; pegawai perubatan bedah saraf, Dr Pavankumar Balachandran; pegawai CSI, Inspektor Maidon Bernadus; serta pengawal keselamatan, Linah Mansoding yang bertugas pada malam kejadian Zara ditemui.
Peringatan Mahkamah
Walaupun mahkamah tidak mengeluarkan perintah larangan rasmi atau gag order, Koroner mengingatkan semua pihak termasuk media agar mematuhi tanggungjawab di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001. Sehubungan itu, lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak hanya akan dirujuk dengan huruf A, B, C, D dan E sepanjang prosiding inkues berlangsung. – The Malaysian Update