JAKARTA – Momen menyentuh hati tular di media sosial apabila seorang atuk dirakam sedang bersiap kemas untuk menjemput isterinya yang sebenarnya sudah lama meninggal dunia.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 11 malam apabila atuk berkenaan kelihatan menukar pakaian dengan memakai baju putih dan seluar panjang hitam, seolah-olah mahu keluar menjemput seseorang.
Menyangka Isteri Masih Di Hospital
Menerusi perkongsian video oleh pengguna Instagram @wiwin5720, atuk tersebut pada awalnya menyangka isterinya masih berada di hospital dan berhasrat untuk melawat.
Namun sebaik dimaklumkan oleh anaknya bahawa isterinya telah meninggal dunia sejak 12 tahun lalu, wajah atuk terus berubah sayu. Beliau menundukkan kepala dan tidak mampu menahan sebak apabila sekali lagi diingatkan dengan hakikat itu.
Larut Dalam Kerinduan
Anaknya cuba menenangkan dengan mengatakan bahawa semua itu hanyalah mimpi. Namun, atuk tetap terus menangis dalam kerinduan, meskipun dipujuk anaknya.
Video itu nyata menyentuh hati ramai warganet yang sebak melihat ketulusan kasih seorang suami terhadap isterinya, meskipun sudah lama berpisah kerana takdir.
Benarlah, cinta sejati tidak pernah pudar ditelan waktu. Walaupun jasad telah tiada, kasih sayang dan kenangan yang pernah terbina akan kekal abadi di dalam hati.
Kisah ini bukan sekadar mengundang sebak, tetapi juga menjadi peringatan buat kita semua untuk lebih menghargai pasangan, keluarga serta insan tersayang ketika mereka masih ada. Sesungguhnya, kasih sayang yang ikhlas akan terus hidup walaupun terpisah oleh kematian. – The Malaysian Update