SHAH ALAM – Seorang lelaki yang tular bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 7, minggu lalu akhirnya ditahan polis semalam.
Ditahan Selepas Pulang ‘Ride’ Dari Thailand
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 49 tahun ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Persiaran Kayangan, Seksyen 9, selepas pulang menunggang motosikal dari Thailand.
“Suspek bekerja sebagai mekanik bengkel motosikal dan berjaya ditangkap selepas pulang ‘ride’ dari Thailand. Lelaki ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini untuk perintah reman,” katanya.
Menurut beliau, ujian air kencing suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
Mangsa Wanita Hamil Lapan Bulan
Kosmo! sebelum ini melaporkan, insiden berlaku pukul 11.50 malam pada 11 September lalu apabila seorang wanita hamil lapan bulan dan suaminya kurang senang dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.
Mangsa kemudian meminta pekerja restoran menegur lelaki berkenaan, namun tidak diendahkan. Suspek kemudiannya didakwa menghembus asap rokok ke arah wanita itu sebelum pertengkaran tercetus. Insiden tolak-menolak berlaku sebelum suspek meninggalkan restoran yang penuh dengan pelanggan. – The Malaysian Update