GAZA – Dalam suasana bergolak dan penuh ketidaktentuan, kisah ketabahan seorang pelajar PhD dari Palestin kembali menyentuh hati ramai. Tular di media sosial perkongsian oleh pengguna Facebook, Rasheedan Ellin, mengenai sahabat seperjuangannya, Fadi Esleem, pelajar PhD Kejururawatan di International Islamic University Malaysia (IIUM) yang kini berada di tanah airnya yang sedang dilanda perang.
Walau hanya beralaskan pasir dan bermejakan baldi, Fadi tetap meneruskan kajiannya yang berkaitan pesakit COPD kronik, membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah padam walau di tengah-tengah derita dan kehancuran.
“Sahabat seperjuangan kami ini adalah simbol keteguhan rakyat Palestin yang sentiasa percaya akan adanya sinar hari esok daripada Allah SWT,” tulis Rasheedan.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW:
“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” (HR Ahmad)
Namun dalam kemas kini terbaharunya, Fadi memaklumkan bahawa berlaku insiden tembakan berhampiran kawasan khemahnya sekitar jam 11.30 pagi, sekali lagi menunjukkan betapa getirnya kehidupan yang perlu ditempuh oleh rakyat Palestin setiap hari.
“Ini perwira sejati”
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang tersentuh dengan keteguhan Fadi menuntut ilmu walau dalam suasana penuh bahaya.
“Siapa yang kata belajar universiti ni sia-sia, mohon bagi penampaq. Walaupun tinggal dalam khemah, risiko bedilan masih ada, tapi tetap gigih belajar. Ini perwira sejati, semangat tinggi, cekal dan tabah,” tulis seorang pengguna.
“Yang duk kata belajar tak penting tu, entah apa depa buat pun tak tau. Ada semangat sekuat dia?” kata seorang lagi.
Apabila ditanya mengenai keadaan pelajar Palestin yang belajar di luar negara, pemilik akaun Facebook itu menjelaskan:
“Susah, crossing tutup. Kena lalu Israel, dan mereka tak bagi rakyat Palestin keluar.”
“The real warrior”
Dalam ruangan komen, ramai turut menitipkan doa agar Fadi terus dilindungi dan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Bagi dia lulus dengan cemerlang, Dr… the real warrior,” tulis seorang pengguna.
“Kuat semangat mereka nak belajar,” kata seorang lagi yang turut berkongsi pengalaman pernah mempunyai guru al-Quran dan tahfiz dari Palestin ketika di IIUM.
Kisah Fadi dan ramai lagi pelajar Palestin menjadi bukti bahawa ilmu tidak pernah mengenal batas geografi atau perang, sebaliknya menjadi cahaya perjuangan di tengah kegelapan penindasan.
Ilmu Sebagai Benteng Perjuangan
Dalam derita dan sekatan, mereka masih mencari ruang untuk menuntut ilmu, menjadikan pena dan buku sebagai senjata melawan kejahilan dan kezaliman.
Semangat seperti Fadi mengingatkan dunia bahawa walaupun bumi mereka dibedil, harapan dan ilmu tidak pernah mati, kerana dari khemah yang lusuh itu, lahirnya insan-insan yang bakal membina masa depan Palestin yang merdeka. – The Malaysian Update