GAZA – Menerusi video tular di media sosial, suasana pilu namun penuh ketabahan jelas terpancar di wajah rakyat Palestin yang kembali ke kediaman masing-masing di Gaza. Ada yang bersyukur kerana rumah masih utuh dan tidak mengalami kerosakan, namun ramai juga yang hanya mampu melihat tempat tinggal mereka telah rata menjadi debu.
Namun begitu, rasa syukur tetap menebal dalam diri mereka, bukan kerana harta atau rumah yang masih ada, tetapi kerana masih diberi peluang untuk bernafas. Begitulah kekuatan warga Palestin, dalam setiap ujian mereka tetap bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah Azza Wajalla.
Pemuda Gaza Pulang Sendiri, Rakam Suasana Rumah
Dalam salah satu video yang tular itu, kelihatan seorang pemuda Gaza pulang ke rumahnya selepas gencatan senjata diumumkan. Dengan langkah perlahan, dia membuka pintu dan merakam keadaan di dalam rumah, namun kelihatan berseorangan, tanpa ditemani ahli keluarga. Walaupun sendirian, wajahnya tetap memancarkan rasa syukur dan kegembiraan apabila mendapati rumahnya masih berdiri kukuh, seolah-olah mengucap syukur atas perlindungan Ilahi.
Ribuan Kembali Ke Gaza Selepas Gencatan Senjata
Memetik laporan antarabangsa, ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mula pulang ke Bandar Gaza pada Jumaat selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa secara rasmi, lapor Agensi Berita WAFA.
Sumber tempatan melaporkan, orang ramai dilihat berjalan kaki melalui Jalan Pantai Rashid dan Jalan Salah al-Din, dua laluan utama yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Gaza. Ramai antara mereka terpaksa menempuh perjalanan sejauh tujuh kilometer, sambil membawa barangan yang masih tinggal selepas rumah musnah akibat serangan berulang tentera Israel.
Jalan pesisir Rashid yang sebelum ini menjadi saksi kepada pelarian besar-besaran dan pembunuhan beramai-ramai, kini kembali dipenuhi langkah-langkah pulang rakyat Gaza, walau dengan hati yang luka.
Gencatan Senjata Diluluskan
Kepulangan ini berlaku hanya beberapa jam selepas kerajaan Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan perang dua tahun di Gaza.
Perjanjian itu menandakan permulaan Fasa Pertama pelan damai yang lebih luas, termasuk penghentian penuh pertempuran, pengunduran tentera Israel dari Gaza, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan dan tebusan.
Trump mengumumkan pelan itu pada 8 Oktober lalu, menyifatkannya sebagai usaha ke arah perdamaian dan pembinaan semula Gaza, langkah awal untuk membuka jalan kepada penyelesaian politik di Timur Tengah.
Komen Netizen Sarat Emosi
Kisah pemuda Gaza itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial di seluruh dunia. Rata-rata meluahkan rasa kagum terhadap kekuatan iman dan kesabaran rakyat Palestin dalam menghadapi ujian besar ini. Seorang pengguna menulis bahawa rakyat Palestin memiliki tahap keimanan yang luar biasa dan berdoa agar mereka dikurniakan kedudukan tertinggi di sisi Allah.
Ada juga yang menzahirkan rasa syukur apabila melihat rumah pemuda itu masih kukuh, menyifatkannya sebagai satu keajaiban dan tanda perlindungan Allah di tengah kemusnahan yang melanda.
Dalam masa sama, ada yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk membantu memberikan tempat berteduh kepada anak-anak yatim di Gaza yang kini kehilangan keluarga akibat perang.
Beberapa netizen turut tertanya-tanya tentang keluarga pemuda tersebut, menzahirkan rasa sebak apabila melihat dia pulang sendirian. “Alhamdulillah, di mana keluarganya?” tulis seorang pengguna, manakala yang lain menambah, “Kenapa dia seorang saja?”.
Walau dunia hanya mampu melihat dari jauh, semangat dan ketabahan rakyat Gaza terus menjadi inspirasi, lambang kekuatan sebenar iman, sabar, dan keteguhan jiwa di tengah kehancuran. – The Malaysian Update
