Sunday, October 26, 2025

Tahanan Palestin Terkejut Lihat Keluarga Masih Hidup Selepas Dibebaskan

by
October 14, 2025
1 min read

GAZA – Sungguh berat ujian yang ditanggung, namun indah cara Allah menggantikannya. Tular sebuah video menyayat hati memaparkan jurufoto Palestin, Shadi Abu Sido, yang akhirnya dibebaskan selepas menjalani tempoh tahanan panjang di penjara Israel — penuh tekanan, penderaan mental dan penyiksaan psikologi.

Selama bertahun-tahun dikurung tanpa kepastian, Shadi terpaksa menanggung beban emosi apabila pengawal penjara memaklumkan bahawa seluruh keluarganya telah dibunuh. Hari-harinya di dalam tahanan berlalu dengan jiwa yang hancur, menyangka dia telah kehilangan segalanya.

Pembohongan Terbongkar, Air Mata Bertukar Syukur

Namun semalam, ketika pintu kebebasan akhirnya terbuka, segalanya berubah. Shadi melangkah pulang ke rumah dan mendapati isteri, anak-anak serta ibu bapanya masih hidup. Tangisan yang pecah bukan lagi kerana sedih, tetapi kerana syukur yang terlalu dalam. Allah Maha Adil, Dia menguji dengan perit hanya untuk mengembalikan nikmat yang tak ternilai, menghadirkan semula kebahagiaan yang disangka telah hilang buat selama-lamanya.

Tular di Media Sosial, Netizen Luah Sebak dan Doa

Kisah luar biasa ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Seorang pengguna menulis bahawa pihak penjara sebenarnya berniat untuk mendera mental tahanan Palestin dengan mencipta cerita palsu bagi melemahkan semangat mereka, sambil mengungkap doa penuh makna, “Hasbunallah wani’mal wakil, ni’mal maula wani’mannasir” , Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan sebaik-baik pelindung.

Seorang lagi netizen turut menitipkan doa agar keluarga ini tidak lagi dipisahkan, dan terus kekal bersama hingga ke hujung nyawa, mencerminkan harapan ramai agar kezaliman terhadap rakyat Palestin segera berakhir.

Ada juga yang meluahkan rasa sebak, membayangkan derita Shadi menahan rindu dalam tahanan, menyangka keluarga telah tiada, namun akhirnya dapat memeluk mereka kembali. “Pastinya jiwa tersentak, depan mata orang yang diingatkan telah tiada tapi masih berdiri di depan mata,” tulis seorang pengguna.

Dari Derita Lahirlah Keajaiban

Momen menyentuh hati ini turut membuat ramai menitiskan air mata, seperti yang dikongsikan oleh pengguna lain yang menulis, “Allahu, aku menangis sambil tersenyum… semoga kamu bahagia kembali.”

Difahamkan, Shadi Abu Sido telah ditahan selama hampir dua tahun sebelum akhirnya dibebaskan. Tempoh yang panjang itu meninggalkan luka mendalam dalam hidupnya, namun kisah pembebasannya menjadi simbol ketabahan dan bukti bahawa kebenaran tidak akan selamanya terkubur.

Daripada derita yang panjang lahir sebuah keajaiban, kisah yang mengingatkan dunia bahawa kasih, sabar dan iman mampu menewaskan kezaliman. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Doa Jiran ‘Menembusi Langit’, Kisah Safitri Diceraikan Dua Hari Sebelum Suami Dilantik PPPK Raih Simpati Ramai

ACEH – Kisah pilu seorang wanita dari Aceh, Indonesia kembali mengundang sebak

Pegawai Pemerintah Dipecat Gara-Gara Ceraikan Isteri, Shella Saukia Tampil Hulur Bantuan

ACEH – Nama Shella Saukia kembali jadi sebutan di media sosial selepas