Sunday, November 16, 2025

Rumah Disewa Bertukar ‘Tapak Sampah’, Pemilik Luah Kecewa: “Penyewa Dari Neraka”

by
October 28, 2025
1 min read

KUALA LUMPUR – Bayangkan rumah yang dulunya bersih, lengkap dengan perabot dan dijaga rapi, kini bertukar menjadi seperti tapak pembuangan sampah selepas dua tahun disewa.

itulah pengalaman pahit yang dikongsi seorang pemilik rumah menerusi akaun TikTok @ftnramlie, sehingga mencetuskan rasa simpati dan geram dalam kalangan warganet.

Dari Rumah Lengkap Kepada Penuh Sampah

Menurutnya, rumah yang terletak di sekitar Kuala Lumpur itu pada awalnya diserahkan dalam keadaan terjaga dan kemas, lengkap dengan perabot asas demi keselesaan penyewa.

Namun keadaan berubah apabila dia membuat pemeriksaan selepas bil air dan elektrik meningkat mendadak.

“Penyewa dari neraka. Saya sewakan sekali dengan perabot. Rumah masa bagi memang bersih, tapi bila kami datang, terus rasa nak menangis. Barang berlonggok, sampah merata, bil air pula mencanak sampai RM200 lebih,” katanya dalam video tersebut.

Bayaran Sewa Lewat dan Bil Tertunggak

Tambahnya lagi, penyewa berkenaan bukan sahaja lambat membayar sewa, malah meninggalkan tunggakan bil utiliti yang tinggi.

“Kami dah banyak tolong dia sebenarnya. Sewa bayar lambat, bil tertunggak. Deposit pun kami ambil RM1,500 saja. Kalau kira balik memang tak berbaloi langsung nak baiki semua ni. Sekarang kami cuma nak dia keluar. Sakit mata tengok rumah macam ni,” ujarnya.

Enggan Keluar, Dakwa Tiada Tempat Tinggal

Lebih membebankan, penyewa tersebut dikatakan enggan berpindah walaupun sudah diberikan notis dan masa mencukupi untuk berbuat demikian.

“Saya dah halau minggu lepas, tapi dia kata tak ada tempat nak pergi. Dia cakap dia orang kelainan upaya (OKU) dan mula nak marah, siap ugut nak call polis. Kami suruh saja dia hubungi pihak polis sebab ini rumah kami,” jelasnya lagi.

Pemilik rumah itu juga memaklumkan, pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya penyewa terus enggan mengosongkan kediaman berkenaan selepas hujung Oktober ini.

“Kalau masih tak keluar, kami akan teruskan report dan buat tindakan pengusiran secara rasmi,” katanya.

Netizen Simpati, Anggap Ada Unsur Gangguan Mental

Kisah tersebut mendapat perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang meluahkan rasa marah terhadap sikap penyewa terbabit, namun tidak kurang juga yang bersimpati dan cuba memahami situasi dari sudut lain.

Sebahagian warganet berpendapat, penyewa berkenaan mungkin mengalami masalah kesihatan mental seperti Hoarder Disorder, tabiat menyimpan barang secara melampau sehingga kediaman menjadi tidak terurus. Mereka menganggap situasi itu perlu ditangani dengan cara berhemah dan penuh empati.

Ada juga yang berpandangan bahawa walau apa pun alasan, tanggungjawab menjaga kebersihan dan menghormati harta orang lain tetap perlu diutamakan. Dalam masa yang sama, pemilik rumah juga disaran mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut tanpa menimbulkan konflik berpanjangan.

Nasihat Buat Pemilik Rumah

Rata-rata pengguna media sosial menasihatkan agar pemilik rumah lebih berhati-hati memilih penyewa selepas ini. Perjanjian sewa perlu disediakan secara lengkap dan bertulis bagi mengelakkan sebarang salah faham atau kerugian di kemudian hari.

Kisah ini menjadi pengajaran buat semua, baik pemilik mahupun penyewa, bahawa kejujuran, tanggungjawab dan komunikasi yang jelas amat penting dalam urusan sewa-menyewa agar kedua-dua pihak tidak menanggung kerugian. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Sekolah Agama Dari Ceruk Kampung Jadi Fenomena Bola Sepak Thailand

BANGKOK – Tular di seluruh Thailand, kisah sebuah sekolah agama serba kekurangan

Pengasas eHATI Didakwa Lari ke Negara Asia Tenggara Sehari Sebelum Pertuduhan

KUALA LUMPUR – Pengasas program eHATI bersama suaminya dipercayai melarikan diri ke