KUALA LUMPUR – Pemuda yang pernah tular dengan kisah penghijrahannya memeluk Islam, Muhammad Mikhael Sathayah, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila ibunda tercintanya pula mengambil langkah yang sama.
Selepas tujuh tahun bergelar mualaf, pemilik akaun TikTok @mukagengster itu hari ini berkongsi detik penuh bermakna apabila ibunya, M. Muniamah, 75, melafazkan dua kalimah syahadah.
Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial, wanita yang mesra disapa Mak Titew itu dilihat tenang melafazkan syahadah dengan bimbingan seorang ustaz, sambil disaksikan sendiri oleh Muhammad Mikhael dan isterinya.
“Alhamdulillah. Akhirnya Mak Titew… Sesungguhnya hidayah itu milik Allah,” tulis Mikhael dalam perkongsian tersebut.
Sokongan dan doa dari netizen
Rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dan terharu dengan momen indah tersebut, selain memuji kasih sayang antara anak dan ibu itu.
Seorang pengguna media sosial mengakui pernah tersalah sangka terhadap Mikhael dan ibunya sebelum ini, namun kini menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas kata-kata lalu. Katanya, dia tidak menyangka wanita itu akhirnya memilih untuk memeluk Islam.
Ada juga yang berkongsi rasa teruja melihat penampilan Mak Titew, dengan menyatakan beliau pasti kelihatan comel apabila berhijab nanti.
Seorang lagi pengguna menulis bahawa ibunya itu layak digelar antara ahli syurga, sambil mendoakan agar mereka bertemu kembali di sana kelak.
Tidak kurang juga yang mengagumi kasih sayang seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anaknya. Seorang netizen berkata, jelas dari wajah Mak Titew bahawa keputusan itu dibuat dengan penuh keikhlasan dan cinta terhadap anaknya.
Manakala seorang lagi menitipkan doa agar wanita itu terus bahagia dan tenang dengan pilihannya, serta mengingatkan bahawa kebahagiaan sebenar datang apabila jiwa dan orang tersayang turut gembira.
Kasih seorang ibu tak bertepi
Terdahulu, kisah penghijrahan Muhammad Mikhael pernah dikongsi oleh beberapa portal tempatan, menceritakan bagaimana ibunya menjadi tulang belakang sejak hari pertama beliau memeluk Islam.
Kasih sayang ibu dan anak ini begitu menyentuh hati apabila Mikhael sanggup membeli rumah bersebelahan kediaman ibunya hanya kerana mahu sentiasa dekat dengan wanita yang membesarkannya itu.
Meskipun ketika itu berlainan agama, Muniamah tetap menjadi penyokong setia. Beliau bukan sahaja menghadiahkan kelengkapan solat kepada anaknya, malah sering menunggu di luar masjid setiap kali Mikhael menunaikan solat berjemaah.
Kini, selepas tujuh tahun penuh doa dan kesabaran, Allah mengurniakan hidayah kepada Mak Titew, bukti bahawa kasih sejati antara ibu dan anak mampu menembusi segala perbezaan.
Perjalanan hidup Muhammad Mikhael dan ibunya menjadi inspirasi ramai, mengingatkan bahawa hidayah tidak datang dengan paksaan, tetapi hadir pada waktu yang paling tepat menurut kehendak Allah.
Dari seorang anak yang setia menghormati ibunya meskipun berlainan pegangan, kini mereka disatukan dalam satu agama yang sama, satu pengakhiran yang indah buat kisah kasih antara seorang anak dan ibu yang tidak pernah berputus asa dalam doa dan kasih sayang.
“Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, dan Dia berikan kepada siapa yang Dia kehendaki.” – The Malaysian Update
